KUALA LUMPUR – Sebanyak enam unit radar Coastal Surveillance System (CSS) baharu akan diletakkan di kawasan Pantai Timur Sabah (ESSZone) bagi memantau keselamatan dan memelihara kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perolehan enam unit CSS baharu tersebut bagi menggantikan lima CSS Aesa Spexer 2000 yang telah mengalami kerosakan dan tidak ekonomi untuk dibaiki.
Menurut beliau, manakala sebanyak lapan buah radar CSS yang masih berstatus operasi sepenuhnya di kawasan berkenaan baru selesai menjalani kerja-kerja naik taraf pada 16 September 2023 iaitu melibatkan Radar CSS 1206.
“Kesemua peralatan Radar CSS Aesa Spexer 2000 itu telah ditanggalkan untuk pelupusan. Kementerian Pertahanan mengenal pasti keperluan bagi menutup kelompongan dengan melaksanakan perolehan lima penggantian dan satu penambahan radar gap filler baharu.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi perolehan enam buah radar tersebut adalah sebanyak RM57 juta yang akan diperolehi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK-13,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berhubung status pembaikan dan penggantian radar pesisir pantai di ESSZone.
Terdahulu, Mohamad menerangkan, kawasan Pantai Timur Sabah merangkumi 10 daerah persisiran bermula dari Kudat hingga ke Tawau iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahat Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Menurut beliau, ia melibatkan panjang pantai sejauh 1,733 kilometer (KM), sebanyak 361 buah pulau dan keluasan daratan seluas 31,158 km persegi iaitu 42 peratus daripada keluasan Negeri Sabah.
“Bagi mengawasi pesisir Pantai Timur Sabah, radar CSS telah diletakkan di 13 lokasi penempatan yang meliputi persisiran Kudat iaitu di bahagian Utara ESSZone sehingga ke Tawau iaitu di bahagian Selatan ESSZone,” katanya. – KOSMO! ONLINE