fbpx

Beruang matahari berkeliaran di Jeli masuk perangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perangkap yang dipasang Perhilitan untuk menangkap beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Batu Melintang, Jeli. FOTO IHSAN PERHILITAN

JELI – Salah seekor daripada dua beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kampung dan kebun di Kampung Batu Melintang di sini sejak sebulan lalu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan mengenai haiwan itu sehingga menyebabkan penduduk takut untuk keluar bekerja di kebun pada 30 September lalu.

Menurutnya, kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli menjalankan siasatan di lokasi itu dan memasang satu unit perangkap beruang pada hari yang sama.

“Umpan buah-buahan digunakan untuk menarik perhatian hidupan liar tersebut selain tugasan pemantauan perangkap dan kawasan sekitar kampung juga telah dijadualkan.

“Seekor beruang matahari didapati memasuki perangkap itu semalam. Hidupan liar itu akan diperiksa oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan sebelum dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari penempatan manusia,” katanya ketika ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, beruang itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor yang terletak berhampiran dengan Kampung Batu Melintang di sini untuk mencari makanan.

Menurutnya, tindakan pemasangan perangkap dan pemantauan berterusan akan diteruskan di kawasan kampung itu untuk menangkap seekor lagi beruang matahari yang masih berkeliaran.

“Khidmat nasihat selain langkah mitigasi telah diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak, sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling luar rumah dan tidak masuk ke kawasan kebun pada waktu malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI