fbpx

Bakal juara GV10? Ini respons Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIZA Hanim enggan hanyut dalam pujian, sebalik bekerja keras mahu memberikan persembahan terbaik setiap minggu dalam GV10.

SHAH ALAM – Penyanyi Liza Hanim mengakui jolokan sebagai bakal juara All Stars Gegar Vaganza (GV10) seperti yang diperkatakan ramai sebenarnya satu tekanan kepada dirinya.

Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abd Halim, 43, bagaimanapun enggan hanyut dengan bayangan tersebut, sebaliknya berikhrar memberikan persembahan terbaik bagi setiap tugasan konsert mingguan GV10.

“Pada awalnya memang ada rasa sedikit beban yang berat perlu dipikul ditambah dengan jangkaan orang ramai.

“Namun saya pilih untuk tolak semua benda itu dan fokus pada cara untuk bertahan setiap minggu kerana setiap peserta GV10 hebat serta miliki peluang sama (bergelar juara),” katanya yang ditemui selepas konsert minggu keenam di Auditorium MBSA semalam.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu menegaskan setiap peserta layak untuk diberi gelaran juara kerana memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri.

“Semua hebat, ada identiti dan kekuatan mereka sendiri, jadi kami semua sedang melalui fasa survival.

“Kami hanya beri yang terbaik setiap minggu.

“Tolak ke tepi dahulu dakwaan akan bergelar juara atau perkara lain, hal yang penting sekarang ini ialah cuba sebaik-baiknya,” kata bekas naib juara GV musim keempat itu.

Berkongsi perasaan apabila diumumkan sebagai peserta yang meraih markah tertinggi selama dua minggu berturut-turut, dia mengakui tidak pernah menyangka hal tersebut ditambah dengan lagu yang dinyanyikan iaitu Rembulan sangat kemampuan mencabar dirinya.

“Apabila habis buat persembahan, memang rasa lega sangat tapi saya tak pernah menyasarkan pun untuk mendapat tempat pertama itu.

“Apa pun, alhamdulillah apabila diumumkan sebagai peserta dengan markah tertinggi.

“Adakalanya kalau letak sasaran sebegitu (tempat pertama) akan memberi bebanan terhadap diri sendiri semula,” ujarnya.

Semalam, Liza sekali lagi diumumkan sebagai peserta yang mendapat markah tertinggi daripada barisan juri tetap selepas mendendangkan lagu Rembulan milik Krisdayanti.

Menurut salah seorang juri tetap, Datuk Ramli MS, Liza layak menerima markah tinggi kerana memberi persembahan mantap dan memiliki keyakinan tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI