SHAH ALAM – Anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha membudayakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kalangan orang ramai menerusi penganjuran Waste is Amazing Fashion Design Competition 2023.
Acara tersebut menekankan penggunaan bahan sisa yang boleh diguna dan dikitar semula seperti pakaian terpakai, surat khabar, beg plastik, penutup botol plastik, penutup tin aluminium dan pelbagai lagi dalam menghasilkan busana terbaik serta unik untuk pasaran komersial.
Tampil bersama tema ‘Met Gala: Rekaan Hollywood Romantik & Glamor’, acara tahunan itu telah mencapai kejayaan yang ketara dalam memperjuangkan amalan kelestarian sepanjang sedekad lalu.
Pertandingan akhir yang berlangsung di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (Gesturz) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, kelmarin telah menyaksikan 10 pereka tempatan dari seluruh Malaysia, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi menggabungkan kemahiran serta kreativiti masing-masing dalam mereka pakaian yang diperbuat daripada bahan kitar semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, acara ke-10 itu melibatkan kerjasama antara Alam Flora dan UiTM.
“Kerjasama ini bertujuan untuk memupuk kesedaran kitar semula dalam kalangan belia yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan awal dibuat oleh pihak jawatankuasa, memandangkan Alam Flora menerima 100 penyertaan.
“Panel pemarkahan menilai dengan teliti dan memilih 20 rekaan daripada pereka yang bercita-cita tinggi ini sebelum menetapkan 10 finalis peringkat akhir. Tema tahun ini sejajar dengan matlamat Alam Flora yang lebih luas untuk mempromosikan 3R,” jelasnya.
Menurut Mohd. Zain lagi, komitmen syarikat terhadap amalan kelestarian alam sekitar bukan sekadar menggalakkan penggunaan plastik kitar semula, malah pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan prestasi pengurusan sisa dalam perkhidmatan.
“Ini termasuk penggunaan bahan yang mampan, mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam operasi dan inisiatif mencegah pembuangan sisa. Pada masa ini, kadar kitar semula Malaysia berada pada 33.1 peratus, sambil kita berusaha untuk mencapai kadar 40 peratus menjelang 2025.
“‘Waste is Amazing Fashion Design Competition 2023 menawarkan hadiah menarik untuk memberi inspirasi dan ganjaran kepada peserta,” ujarnya.
Pemenang tempat pertama yang menerima wang tunai RM3,000 berserta trofi, mahkota, selempang dan sijil penyertaan menjadi milik Mohamad Hilmi Idris dengan rekaan bertemakan ‘The rejected & heavy styles’
Sementara pemenang tempat kedua yang dianugerahkan wang tunai RM2,000, trofi, jambangan bunga dan sijil dimenangi pereka, Attiya Balqist dengan rekaan ‘Sweet Blossom’.
Pemenang tempat ketiga pula, yang membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi, jambangan bunga dan sijil adalah milik Siti Nabilah dengan rekaan ‘Amazing beauty of Allium Caps’.
Selain itu, Model Terbaik diiktiraf dengan hadiah wang tunai RM300, manakala terdapat kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini iaitu Kandungan Media Sosial Terbaik, yang juga menerima wang tunai RM300.
Dalam pada itu, Mohamad Hilmi, yang juga merupakan alumni UiTM dalam bidang Seni Reka Fesyen mengakui kemenangan yang diraih adalah sesuatu di luar jangkaan apabila hanya menyasarkan kedudukan lima teratas setelah melihat hasil rekaan para peserta lain.
Katanya, acara ini adalah penyertaan kali pertamanya dalam pertandingan rekaan fesyen, namun dia dilihat selesa menampilkan idea baharu menerusi tema yang disediakan penganjur.
Bagi menghasilkan busana kitar semula tersebut, Mohamad Hilmi menggunakan kira-kira 10 kilogram (kg) kain pelbagai jenis yang dikumpul menerusi program kitar semula yang dijalankan bersama rakan di peringkat universiti tahun lalu.
“Saya ada guna seluar jeans yang lama dan rosak serta selimut lama. Kiranya kita sudah memberi nafas baharu kepada 10kg kain ini daripada terbuang dekat tempat pembuangan sampah, kita hasilkan inovasi melalui penghasilan busana seperti ini.
“Acara peragaan fesyen anjuran Alam Flora yang menekankan konsep barangan kitar semula ini adalah suatu yang sangat bagus apabila kita didik orang di luar sana tentang nilai barangan yang sebelum ini mereka hanya anggap adalah sampah semata-mata,” katanya.