MIAMI, Florida – Dua orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 orang lagi cedera dalam amukan senjata api di Bandar Ybor, dalam negeri Florida awal pagi semalam, lapor akhbar The Sun UK.
Insiden berlaku apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang ke arah pengunjung sebuah parti Halloween. Perayaan itu disambut bagi menghalau unsur jahat seperti hantu di Barat.
Jabatan Polis Tampa di Florida mengesahkan bahawa seorang individu ditahan susulan insiden tersebut.
“Siasatan awal mendapati berlaku perbalahan antara dua kumpulan individu yang membawa kepada kejadian tembakan.
“(Seramai) 19 mangsa dihantar ke hospital berdekatan, di mana salah seorang daripada mereka meninggal dunia,” kata polis.
Seorang lagi mangsa maut di tempat kejadian, tambah pihak berkuasa.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai melarikan diri dari tempat kejadian ketika bunyi tembakan kedengaran, manakala beberapa saksi berkata, mereka mendengar antara 30 hingga 40 das tembakan dilepaskan. – AGENSI