PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar sebanyak 14 buah syarikat pelbagai sektor perniagaan yang didapati menggunakan perisian komputer tanpa lesen dalam operasi mereka.
KPDN dalam satu kenyataan berkata, serbuan yang dilakukan itu melibatkan pelbagai jenis latar belakang perniagaan seperti syarikat kejuruteraan, syarikat reka bentuk, syarikat gas dan minyak dan lain-lain.
“Hasil serbuan dijalankan ke atas 14 buah syarikat itu membawa kepada penemuan sebanyak 45 perisian tanpa lesen pada 16 komputer peribadi dan komputer riba bermula Januari 2020 sehingga Ogos lalu.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM995,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas yang diambil adalah tanggungjawab pihaknya dalam melindungi keselamatan dan hak cipta karya yang dihasilkan di Malaysia.
“Ini termasuklah penggunaan perisian tanpa lesen dalam sektor-sektor kritikal yang boleh menimbulkan kebimbangan tentang potensi risiko selain turut menekankan kepentingan menggunakan perisian berlesen bagi menjamin piawaian keselamatan.
“Antara modus operandi yang dikesan oleh KPDN adalah pengguna pada awalnya mempamerkan lesen perisian yang telah tamat tempoh sebagai bukti pematuhan.
“Namun, setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, mereka menggunakan perisian tidak berlesen bagi versi baharu perisian tersebut dan kaedah ini digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.
Tambahnya, antara perisian tanpa lesen yang digunakan oleh mereka adalah seperti AutoCAD, 3ds Max, dan V-Ray.
“Sejajar dengan pematuhan Akta Hak Cipta 1987, semua perniagaan dikehendaki menggunakan perisian berlesen dan sah sepanjang pengoperasian.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan penalti sebanyak RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap perisian yang digunakan dan boleh di penjara sehingga lima tahun,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.