GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyangkal dakwaan satu video tular yang memaparkan sebahagian tembok Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang retak.
Sebaliknya, Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, hasil semakan pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku di luar negara.
“Pejabat ini telah membuat semakan bersama pihak Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang.
“Hasil semakan, video tersebut merupakan video lama dan insiden jambatan retak berlaku di luar negara sekitar tahun 2014,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Justeru beliau mengharapkan agar video tersebut tidak lagi disebarkan sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat umum.
“Jangan sebarkan berita yang tidak sahih,” tambahnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 28 saat di media sosial terutama kumpulan WhatsApp, sejak pagi tadi dengan mendakwa kononnya berlaku insiden keretakan tembok Jambatan Kedua Pulau Pinang. -KOSMO! ONLINE