SEBERANG PERAI – Uda Holdings Berhad (UDA) optimis mampu mencapai sasaran jualan usahawan RM10 juta menerusi pembabitan 500 usahawan di empat lokasi penganjuran Karnival UDA 2023.
Ia susulan kejayaan siri pertama program Karnival UDA 2023 di Johor Bahru baru-baru ini, yang berjaya merekodkan nilai jualan usahawan sebanyak RM2.96 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy berkata, Karnival UDA 2023 tahun ini menyasarkan 500 usahawan di empat lokasi penganjuran karnival terbabit, yang bermula di Johor Bahru diikuti Pulau Pinang, Sabah dan Perak.
“Ia turut memperkenalkan aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan yang mampan selain menjejaki, mendekati, membimbing dan mentransfromasikan usahawan berpotensi yang berdaya saing sama ada di pasaran peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Karnival ini juga memberi ruang kepada usahawan UDA dan rakan kolaborasi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada umum dan komuniti dengan lebih meluas, selain daripada mempromosi kemudahan serta insentif usahawan yang disediakan oleh UDA untuk membantu perkembangan perniagaan usahawan di negara ini.
“Ini bertepatan dengan visi kementerian dalam menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan yang unggul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2023 yang berlangsung di tapak parkir Gravitas, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Perasmian penutupan program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri l, Datuk Dr. Mohamad Abdul Halim.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, program Usahawan USHAniaga adalah inisiatif UDA khusus buat golongan usahawan untuk mempromosikan perniagaan dan mendapatkan peningkatan dalam aspek jualan dan permasaran.
“Menerusi Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), usahawan yang berminat membuka gerai jualan di Karnival UDA 2023 diberikan subsidi sewaan tapak.
“Selain itu, mereka turut berpeluang meneroka pelbagai insentif lain oleh UDA terutamanya bantuan daripada segi akses pasaran seperti ruang niaga di premis-premis di bawah seliaan UDA antaranya di Morten Walk, Melaka serta ruang pemasaran produk usahawan di pusat runcit Mari Mart dan Kirana,” katanya.
Karnival yang membuka tirai di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall pada 29 September sehingga 1 Oktober itu kini berlangsung di Pulau Pinang sebelum diteruskan ke Lintasan Deasoka Kota Kinabalu, Sabah (24-26 November 2023) dan berakhir di Angsana Ipoh Mall, Perak (8-10 Disember 2023). -KOSMO! ONLINE