IPOH – Terdapat tujuh lokasi panas kepala air dikesan di Perak iaitu di Sungai Bil, Sungai Dang, Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kijang, Sungai Lata Iskandar, Sungai Ulu Slim dan Sungai Trolak.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi sebarang aktiviti di air khususnya ancaman kepala air.
“Ini bertepatan dengan situasi semasa yang memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) dan menerima taburan hujan yang tinggi daripada kebiasaan, dijangka bermula bulan depan hingga Mac 2024.
“Pesanan ini amat bertepatan dengan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku urusetia Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) yang terletak di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya ketika berucap di Karnival Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, peruntukan sebanyak RM825,000 disediakan kepada JBPM untuk melaksanakan program Community Fire Evacuation Awareness Escape Tent.
Katanya, peruntukan bagi program memperkasakan kesedaran keselamatan awam itu diperolehi di bawah Peruntukan Mengurus dalam Belanjawan 2024.
“JBPM terus berusaha memperkasakan lagi aspek keselamatan kebakaran melibatkan masyarakat di mana Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan ‘Fire Learning Hub Centre’ di balai-balai.
“Perkara itu telah diperhalusi dan dimuktamadkan di Bengkel Pengislahan Pelan Strategik KPKT 2023-2025 di Pulau Langkawi pada 4 hingga Mac lalu,” ujarnya.
Jelasnya, inisiatif itu menunjukkan pengurusan tertinggi kementerian cakna berhubung perkara yang melibatkan masyarakat umumnya berkaitan kesedaran keselamatan kebakaran.- KOSMO! ONLINE