PETALING JAYA – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah tidak semua keputusan yang dibuat oleh pemimpin atasan akan dapat memuaskan hati semua pihak, namun ia perlu dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat.
“Kadang kala nak buat sesuatu keputusan kita akan dibenci walaupun ia baik untuk negara. ‘Sometimes you have to bite the bullet’,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika muncul sebagai tetamu jemputan dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ kendalian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan hari ini.
Titah Tunku Ismail lagi, menjadi seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berani dalam membuat keputusan meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai komen pihak lain.
“Saya rasa niat (Anwar) nak buat sesuatu itu ada. Sudah tentu beliau mahu melihat negara ini berada dalam keadaan yang baik. Cumanya , saya rasa beliau perlu lebih berani dalam konteks membuat keputusan. Tak boleh jaga hati semua orang, kena buat keputusan di mana yang terbaik untuk negara,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE