PETALING JAYA – “Masa itu akan datang dan saya tidak akan selamanya dalam bola sepak.
Itu antara reaksi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ditanya masa depannya bersama pasukan bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Titah baginda, walaupun mempunyai minat dan semangat dalam sukan itu, tetapi semua itu akan berakhir juga suatu hari nanti.
“Secara jujurnya saya bagitahu, tekanan terutamanya dalam segi kewangan sangat-sangat berat dalam bola sepak khususnya dalam negara kita.
“Contoh Kedah tidak bayar gaji selama tiga bulan, Sabah juga tak bayar gaji, Kelantan tak bayar gaji, Sarawak tak bayar gaji. Bukan mudah nak jaga sesebuah kelab bola sepak.
“Walaupun banyak keluarkan duit tetapi, ‘benefit’ yang anda dapat sikit. Meskipun Johor banyak tajaan dan kolaborasi dengan syarikat antarabangsa, tetapi masih ‘struggle’,”titahnya.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail bertitah, baginda dan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mengendalikan JDT.
“Saya suka idea JDT menyatu padukan rakyat dan memperlihatkan identiti bangsa Johor itu sendiri dalam arena antarabangsa.
“Tetapi dari segi tanggungjawab ia sangat memberi tekanan. Terutamanya apabila anda mempunyai satu pasukan bola sepak yang mempunyai 32 ‘rich babies’,”titahnya.-KOSMO ONLINE