LYON – Kapten New Zealand, Sam Cane bersedia pikul tanggungjawab selepas dituduh menjadi punca kekalahan pasukan apabila tewas 11-12 kepada Afrika Selatan pada aksi final Piala Dunia Ragbi 2023 awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Cane telah diarahkan keluar padang selepas melakukan terjahan keras ke atas tonggak The Springboks, Jesse Kriel pada minit ke-27 sekali gus menjadi pemain pertama yang dihukum sedemikian dalam sejarah final Piala Dunia Ragbi.
Cane mengakui sangat menyesal selepas melakukan kekasaran tersebut sehingga menjejaskan peluang All Blacks untuk merangkul kejuaraan dunia buat kali pertama sejak edisi 2015.
“Kita sudah berada di sini hampir dua bulan dan saya akui sangat kecewa apabila final berkesudahan dengan keputusan ini. Secara jujur, ketika saya melakukan terjahan tersebut, saya tidak sedar andai hukuman yang diberikan cukup serius.
“Saya tiada hak untuk mempersoalkan kad merah tersebut kerana ia tidak boleh diubah keputusan. Cuma saya akui agak menyesal kerana ia berlaku pada perlawanan penting seperti ini dan akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya. – KOSMO! ONLINE