PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bakal berdepan cabaran hebat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau mengakui perkara itu, namun percaya PH dan BN akan dapat melakukan sesuatu.
“Saya akui, Amanah dan BN di Terengganu berdepan dengan cabaran hebat pada PRK Parlimen Kemaman yang akan berlangsung pada 2 Disember 2023 nanti.
“Insya-Allah dengan kerjasama dan kerja keras dari semua, saya yakin kita akan dapat melalukan sesuatu di Kemaman nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Mohamad berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Amanah di Terengganu yang bekerja keras pada Pilihan Raya Umum dan negeri yang lalu.
“Alhamdulillah kita telah berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan gabungan PH, BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November. – KOSMO! ONLINE