JITRA – Seorang penduduk tergamam melihat puting beliung sebelum berlari menyelamatkan diri apabila mendapati ia menuju ke arahnya di Kampung Pida 2, Manggol Bongor di Kodiang pada petang tadi.
Menurut seorang penduduk, Marwan Kassim, 40, kejadian pada pukul 3.45 petang itu berlaku ketika dia sedang membaiki lori di bengkel berdekatan rumahnya.
“Saya tergamam melihat pusaran angin di depan mata sebelum berlari ke dalam rumah apabila mendapati ia menuju menghala ke arah bengkel,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, beberapa peralatan membaiki kenderaan dan barangan di dalam rumah termasuk peralatan elektrik dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 rosak.
Tambahnya, kejadian ribut itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 rumah di kampung berkenaan rosak teruk.
“Namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk di Kampung Pida 3 dan 4 pada pukul 3.45 petang tadi.
“Tiada mangsa yang cedera dan keadaan terkawal. Pihak APM membuat pemantauan serta membantu membersihkan kawasan terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE