BURIRAM – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin berpeluang merapatkan jurang dengan Francesco Bagnaia dalam carta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas menyambar petak hadapan pada Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang.
Pada sesi kelayakan yang berlangsung semalam, pelumba Sepanyol itu memastikan petak hadapan menjadi miliknya apabila melakukan catatan rekod sepusingan terpantas di litar tersebut, iaitu 1 minit 29.287 saat (s).
Walaupun sedar dengan peluang untuk merapatkan kedudukan dengan Bagnaia dalam perebutan kejuaraan dunia, namun Martin hanya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap persiapan sendiri menjelang perlumbaan sebenar hari ini.
“Saya ada misi tersendiri pada perlumbaan di sini, jadi saya hanya mahu berikan fokus terhadap persiapan pasukan. Secara jujur, saya langsung tidak jangka dapat lakukan catatan masa 1:29.287s, mungkin bernasib baik.
“Selain itu, saya juga gembira kerana jentera berada dalam keadaan bersedia, terutamanya tayar yang cukup mencengkam. Bagaimanapun, saya harap boleh tampilkan aksi lebih baik esok (hari ini),” katanya sejurus tamat sesi kelayakan.
Mengiringi Martin di barisan hadapan pada perlumbaan nanti adalah pelumba pasukan Mooney VR46 Racing, Luca Marini yang bermula di petak kedua diikuti Aleix Espargaro dari pasukan Aprilia.
Sementara itu, Bagnaia yang merupakan pendahulu kejuaraan dunia ketika ini berdepan aksi sukar apabila akan memulakan perlumbaan di petak keenam selepas melakukan catatan masa 1:29.527s. – AGENSI