PETALING JAYA – Golongan belia termasuk graduan yang sudah bekerja mesti ada suatu perasaan gembira untuk pergi kerja.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mereka perlu juga ada perasaan puas hati dengan pekerjaan yang mereka lakukan.
“Apa pun yang kita lakukan atau kerjaya apa pun yang kita ceburi, mesti ada suatu perasaan gembira untuk pergi kerja dan puas hati dengan apa yang kita lakukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hannah berkata, beliau menyampaikan pesanan itu kepada golongan belia pada Majlis Konvokesyen Institusi Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) kali ke-18 semalam.
Seramai 3,970 graduan ILKBS termasuk 52 belia autisme terlibat dalam majlis konvokesyen berkenaan.
Majlis Konvokesyen ILKBS kali ke-18 menyaksikan penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia kepada graduan.
Termasuk belia yang menyertai program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme. – KOSMO! ONLINE