fbpx

Mayat wanita terapung disahkan Norasma Diana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar setelah ditemui di Jeti Maritim Zon Kuala Kurau semalam.

PARIT BUNTAR – Wanita dilaporkan hilang kelmarin, Norasma Diana Mohd. Nazim, 23, disahkan meninggal dunia apabila mayat mangsa yang ditemui terapung di Jeti Maritim Zon Kuala Kurau di Sungai Kurau di sini semalam dikenal pasti oleh ahli keluarganya.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkenaan kehilangan Norasma Diana kelmarin pada pukul 10.54 pagi.

Katanya, pengadu menyatakan mangsa mempunyai masalah kesihatan iaitu tyrod dan asma serta mengalami kemurungan.

“Susulan dari laporan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan orang hilang serta telah membuat hebahan bagi mengesan keberadaan mangsa.

“Semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau telah menemui satu mayat terapung di bawah salah satu bot Maritim Malaysia yang ditambat di pengkalan Jeti Maritim Zon Kuala Kurau pada pukul 4.45 petang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, bertindak atas maklumat itu, pihaknya telah ke tempat kejadian dan mengesahkan mayat yang dijumpai.

“Mayat telah dibawa ke Jeti Kampung Raja Bashah dan ahli keluarga yang telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan anaknya telah dipanggil untuk proses pengecaman,” katanya.

Tambahnya, pengadu telah mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang dilaporkan hilang dan mayat telah dibawa ke unit forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat telah dijalankan dan mendapati kematian tidak dapat dikenal pasti akibat pereputan mayat. Beberapa spesimen telah diterima dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Ipoh bagi membantu keseluruhan siasatan,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan siasatan bagi menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Tok Hin, Kuala Kurau pada pukul 2 petang hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI