TAMPIN – Seorang pesakit kanser tahap empat, Shamsudin Jusoh merayu bantuan orang ramai untuk mencari adik-beradiknya yang terputus hubungan sejak sekian lama.
Seorang anaknya, Mohamad Saiful Shamsudin, 38, berkata, bapanya berusia 64 tahun yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan kini terlantar akibat kanser paru-paru.
Shamsudin kini sedang dijaganya keluarga isteri Mohamad Saidul serta kakak sulungnya, Siti Sazila,
40, di Kampung Asahan, Gemencheh.
Menurut Mohamad Saiful, bapanya yang terpisah dengannya ketika dia berusia empat tahun itu baru sahaja dibawa tinggal bersama sejak 26 September lalu setelah dia menerima maklumat dari sebuah hospital di Johor mengenai keadaan bapanya.
“Sudah lama saya berusaha mencari ayah di merata-rata tempat dan pelbagai kaedah, akhirnya dapat berjumpa semula,” katanya.
Menurutnya, sejak dibawa pulang dari hospital, hanya empat hari bapanya sihat serta boleh berbual dan kemudiannya pada 30 September lalu, Shamsudin dimasukkan ke Hospital Tampin berikutan sakit kansernya semakin merebak.
Mohamad Saiful berkata, bapanya berharap dapat menemui semula adik-beradiknya yang sudah lama dirindui.
“Buat masa ini, kami mencari adik-beradik ayah melalui kumpulan Facebook seperti Anak Pantai Timur Kelantan, Terengganu, Pahang dan Group Kuala Krai, Kelantan,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Sazila berkata, dia kini mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani serta menjaga bapanya yang kini tidak mampu lagi menerima makanan atau minuman.
“Bapa kini hanya bergantung kepada ubat tahan sakit. Saya harap sangat dapat cari adik-beradik abah, lebih-lebih lagi dalam keadaannya begini,” ujarnya.
Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung keluarga bapanya boleh menghubungi Mohamad Saiful di talian 013-617 6762.