TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyerbu masuk ke Gaza dan memberi amaran bahawa ia akan menjadi perang yang panjang dan sukar, lapor akhbar The Sun UK.
Netanyahu berkata, operasi yang dilancarkan itu adalah fasa kedua dalam peperangan menentang kumpulan Hamas yang akan berlangsung bagi tempoh lama.
Menurutnya, tentera darat Israel akan memusnahkan Hamas dan membawa pulang tahanan-tahanan Israel.
“Perjuangan kami di dalam Semenanjung Gaza akan menjadi panjang dan sukar, Namun, kami bersedia untuk itu,” katanya.
Ketika bercakap pada sidang akhbar yang disiarkan di kaca televisyen, Netanyahu menjelaskan, matlamat tertinggi operasi itu adalah untuk menewaskan sepenuhnya ‘musuh-musuhnya’ dan menjamin kewujudan Israel.
Beliau turut berikrar untuk memusnahkan sepenuhnya keupayaan ketenteraan Hamas dengan menyifatkan konflik itu sebagai ‘perang kedua pembebasan (Israel)’. – AGENSI