SUNGAI SIPUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Saseh, Pos Perwor di sini sejak Khamis lalu, menemui petunjuk baharu dengan penemuan parang milik mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Mohd. Jamalludin Mat Yusop berkata, parang itu dijumpai di kawasan Bukit Cheneh kira-kira 10 kilometer dari rumah mangsa.
Katanya, penemuan parang itu disahkan sendiri oleh anak mangsa sebagai milik bapanya.
“Operasi yang memasuki hari ketiga ini melibatkan 36 anggota bomba dan polis serta orang awam di mana pencarian dilakukan di kawasan berhampiran di Bukit Cheneh.
“Dalam operasi ini, khidmat Tipo dan Eros dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut digunakan bagi mengesan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Jamalludin memberitahu, operasi mencari mangsa berdepan kesukaran ekoran bentuk muka bumi berbukit dan hutan tebal selain dikenal pasti sebagai laluan gajah liar.
“Setakat ini, kita tidak terserempak dengan mamalia tersebut namun ada anggota yang terjumpa kesan tapak kaki haiwan itu.
“Operasi hari ini ditangguhkan sekitar pukul 5 petang berikutan keadaan cuaca gelap dan berisiko kepada pasukan penyelamat. Operasi akan disambung esok di sekitar kawasan parang mangsa dijumpai,” katanya.
Kehilangan lelaki Orang Asli, Ali Pandak, 68, itu disedari keluarganya pada pukul 8.30 pagi pada Khamis lalu sebelum usaha mencari mangsa dijalankan di kawasan sekitar.
Difahamkan, warga emas terbabit tidak pernah keluar bersendirian dari rumah kerana faktor kesihatan. – KOSMO! ONLINE