BANDAR RAYA NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang menuntut pelaksanaan gencatan senjata kemanusiaan antara Israel dan kumpulan Hamas ketika konflik di Semenanjung Gaza semakin memuncak, lapor portal berita MailOnline.
Perhimpunan Agung PBB di New York kelmarin mengundi 120-14 dalam keputusan yang menerima resolusi ‘tidak mengikat’ itu. Resolusi itu menyeru ‘gencatan senjata kemanusiaan segera, bertahan dan berterusan yang membawa kepada penamatan permusuhan’ dalam konflik paling berdarah di Gaza sejak beberapa dekad lalu.
Resolusi PBB yang menyaksikan 45 negara berkecuali daripada mengundi itu juga menggesa ‘pembebasan segera dan tanpa syarat semua orang awam yang ditahan’, namun tidak menamakan Hamas sebagai penculik.
PBB juga ‘tegas menolak sebarang percubaan untuk pemindahan secara paksa orang awam Palestin’ dari Gaza.
Resolusi itu menimbulkan kemarahan Israel dengan utusannya ke PBB, Gilad Erdan menuduh masyarakat antarabangsa menyokong ‘pengganas Nazi’, merujuk kepada Hamas.
Katanya, badan antarabangsa itu tidak mempunyai legitimasi atau relevan dan menambah bahawa satu-satunya cara untuk memusnahkan Hamas adalah dengan ‘menghalau mereka dari terowong dan memusnahkan bandar bawah tanah mereka’.
Antara yang mengundi menentang resolusi itu ialah Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan Washington berkata, ia menyokong jeda dalam operasi ketenteraan Rezim Zionis di Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan, bahan api dan elektrik kepada orang awam di sana.
Jurucakap White House, John Kirby berkata, sekiranya usaha mengeluarkan tebusan dari Gaza memerlukan jeda operasi ketenteraan sementara, maka AS akan menyokongnya.
“Kami tidak melukis garis merah untuk Israel. Kami akan terus menyokong mereka. Sejak awal lagi, kami mempunyai dan akan terus mengadakan perbualan tentang cara mereka menyelamatkan tebusan,” katanya.
Resolusi yang berjaya dipersetujui secara bersama itu menggagalkan usaha pindaaan Kanada yang meminta ‘penolakan dan kutukan terhadap serangan Hamas dan pengambilan tebusan’.
Ia gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli yang diperlukan, sebaliknya memperoleh 88 undi menyokong, 55 menentang dan 23 berkecuali.
Israel dan PBB telah bertelagah sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Pada minggu ini, Israel berhenti mengeluarkan visa kepada pegawai PBB kerana tersinggung dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres.
Guterres dalam satu kenyataan menyatakan, Rejim Zionis sebahagiannya perlu dipersalahkan atas serangan pada 7 Oktober lalu.
Erdan berkata: “Disebabkan kenyataannya, kami menolak mengeluarkan visa kepada wakil PBB.
“Kami berhenti mengeluarkan visa untuk Setiausaha Agung Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan, Martin Griffiths.
“Masanya telah tiba untuk memberi pengajaran kepada mereka.
Ekoran komen Erdan,yang dikatakan Guterres telah diambil di luar konteks dan disifatkan secara salah, Menteri Luar Israel, Eli Cohen membatalkan pertemuan dengannya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga enggan menjawab panggilan telefon daripada Guterres sejak serangan Hamas awal bulan ini. – Agensi