fbpx

Industri hilang bintang filem hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZHAR Sulaiman anggap pemergian sahabatnya Badrul Muhayat sebagai satu kehilangan besar buat industri seni.

KUALA LUMPUR – Pelakon Azhar Sulaiman menyifatkan Allahyarham pelakon Badrul Muhayat sebagai individu yang sangat disenangi ramai sepanjang bergelar anak seni.

Menurut Azhar, 52, pelbagai momen pahit dan manis dilalui bersama Badrul memandangkan mereka berdua juga sama-sama memulakan kerjaya seni sekitar awal era 1990-an.

“Saya akan sangat merindui dia sebab kami sama-sama memulakan kerjaya seni termasuk menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun 1991.

“Kami juga berlakon dalam filem Riang Tirana dan sejak detik itu mula rapat.

“Saya anggap industri seni kehilangan seorang lagi bintang hebat namun saya percaya karya-karya seninya akan terus kekal dalam ingatan ramai,” kongsinya.

Dalam pada itu, Azhar turut berkongsi Badrul merupakan individu yang sangat menjaga penampilan terutama aspek pemakaian.

“Dia seorang individu yang sangat kemas. Jika buka almarinya, pakaian disusun rapi dan setiap helai baju yang dipakai akan digosok terlebih dahulu.

“Perkara itu mengajar saya untuk lalukan perkara sama.

“Sekali lagi, kehilangannya mengajar saya bahawa kematian memang akan hadir secara mengejut tanpa sebarang petanda,” jelasnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Badrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda sekitar pukul 9.45 pagi tadi.

Pelakon itu selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini, sebelum disembahyangkan dengan dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan rakan selebriti.

Antara selebriti yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Presiden Seniman, Zed Zaidi, Azhar Sulaiman, Azri Iskandar dan Didie Alias.

Semalam, Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap desa di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam pagi semalam.

Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Allahyarham juga meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.

Aktor itu terkenal dengan filem Harry Boy pada tahun 1991 dan Riang Tirana (1990). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI