LONDON – Eddie Nketiah menyerlahkan kualiti sebenar dimilikinya apabila merakam hatrik untuk mengesahkan kemenangan 5-0 Arsenal ke atas Sheffield United, sebentar tadi.
Arsenal yang raih kemenangan bersih dalam 18 pertemuan dengan Sheffield United di gelanggang sendiri memulakan perlawanan dengan agresif dan dilihat lebih mendominasi permainan sejak daripada wisel permulaan ditiupkan.
Usaha Arsenal akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-28 menerusi Nketiah seterusnya meletakkan The Gunners makin bernafsu untuk memburu tambahan jaringan.
Arsenal yang menguasai 67 peratus di babak pertama hampir memperoleh gol kedua sebaliknya penjaga gol lawan, Wes Foderingham bertindak cemerlang menafikan percubaan Gabriel Martinelli.
Bersambung babak kedua, Nketiah benar-benar membuktikan dirinya sedang berada pada tahap terbaik apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-50.
Selang lapan minit selepas itu, rembatan deras Nketiah dari luar kotak penalti seakan sukar untuk disekat Foderingham sekaligus menjadikan Arsenal makin selesa 3-0.
Minit ke-88, Fabio Viera yang dikasari Oliver Norwood terus mematikan sisa perjuangan Sheffield United apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk melengkapkan gol keempat Arsenal diikuti jaringan kelima daripada Takehiro Tomiyasu pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE