fbpx

Atlet muda harta terbesar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (kiri) dan Shereen merupakan aset berharga buat skuad olahraga negara ketika ini.

Oleh NAZMIZAN MUHAMMAD

KEJOHANAN Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) telah melabuhkan tirai­nya di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Di sebalik sorakan gemuruh dan kejayaan diraih di MSSM, terdapat usaha keras dan komitmen berterusan atlet muda yang mencuba sehabis baik bagi mencapai sasaran penyertaan.

Namun, pembangunan akar umbi atlet remaja sering kali kurang diberikan keutamaan baik dari aspek peruntukan, pembangunan sumber serta peluang jangka masa panjang.

Atlet muda adalah pokok yang bakal membentuk hutan dan jika akar tidak diberi perhatian mencukupi, kita mungkin menghadapi masa depan sukan yang tidak sejajar dengan impian kita.

Pembangunan atlet muda adalah pelaburan jangka panjang kerana mereka merupakan aset berharga yang mampu membawa pulang kejayaan dalam acara sukan di persada antarabangsa.

Mereka inilah yang bakal bertindak selaku duta Malaysia ke peringkat antarabangsa kerana kejayaan di pentas dunia bukan sahaja membawa kebanggaan tetapi juga bakal memberikan imej positif buat negara.

AZEEM ketika ini baru berumur 19 tahun tetapi sudah berjaya memenangi pingat gangsa acara 100 meter pada Sukan Asia Hangzhou.

Hal ini telah dibuktikan oleh kejayaan atlet-atlet senior di persada antarabangsa dan telah menjadi inspirasi kepada ge­nerasi seterusnya contohnya seperti Muhammad Azeem Mohd. Fahmi, Zaidatul Husniah Zulkifli, Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman.

Latihan asas fizikal adalah komponen utama dalam pembangunan atlet muda merangkumi latihan kekuatan, kecekapan kardiovaskular dan ketahanan membantu dalam pembangunan serta daya tahan otot.

Ini adalah penting kerana kekuatan otot adalah asas untuk pelbagai aktiviti sukan dan dapat membantu mencegah kecederaan.

Kegagalan memahami elemen sains sukan dan kemampuan daya tahan otot menyebabkan atlet muda berdepan kecederaan berulang sehingga terpaksa melupakan terus bidang sukan.

Pemakanan sihat menerusi diet yang membekalkan tenaga dan nutrien diperlukan untuk ­prestasi sukan optimum, oleh itu atlet remaja perlu disediakan dengan khidmat nasihat makanan bernutrisi sesuai dengan keperluan mereka.

Kebiasaannya, apabila seseorang atlet meraih tumpuan dalam kejohanan tertentu menerusi pencapaian diraihnya, ramai jurulatih mula membuka mata dan berlumba-lumba menawarkan khidmat mereka.

KUARTET 4×100 meter wanita negara diketuai Shereen (dari kiri), Zaidatul Husniah, Azreen Nabila Alias dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal mencipta kejutan meraih gangsa pada Sukan Asia Hangzhou.

Perubahan corak latihan serta jurulatih baharu boleh menjurus kepada elemen psikologi, jadi atlet muda perlu menyesuaikan diri dengan sesuatu yang berbeza dan akhirnya boleh memberi kesan psikologi kepada mereka.

Justeru, adalah penting memastikan elemen psikologi sukan turut diberikan perhatian serius dalam memacu kejayaan atlet generasi muda.

Psikologi sukan membantu atlet mengurus tekanan persaingan selain belajar tentang kekuatan mental, perasaan dan bagaimana untuk mengatasi ketakutan atau kecemasan.

Ia juga membantu atlet muda mengatasi kegagalan serta memahami bahawa ia adalah sebahagian daripada proses pem­belajaran dan tidak semestinya bermaksud kekurangan.

Dalam arena sukan, atlet muda boleh diibaratkan sebagai benih harapan yang mana ­bu­nga kejayaan hanya dapat dituai dalam jangka masa panjang.

Sebagai negara gemilang, kita mengakui masa depan bergantung kepada mereka, oleh itu, kita harus terus memberikan sokongan kepada pembangunan atlet muda dengan matlamat menjadikan mereka penjaga dan penjana kecemerlangan sukan di masa hadapan.

– PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Universiti Malaysia Perlis dan juga bekas raja pecut negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN