PETALING JAYA – ‘Kempen’ memboikot restoran makanan segera, McDonald (McD) sebagai bantahan terhadap kekejaman Israel membunuh rakyat Palestin ketika ini dilihat semakin menjadi-jadi apabila ramai mula meninggalkan makanan kegemaran mereka itu.
Namun, ada segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan orang ramai yang masih membeli dan menghisap rokok, tetapi ‘kononnya’ sedang berjuang menghapuskan produk Israel.
Seorang pengguna Facebook, Shahrul Rafiq menyifatkan perokok yang menghisap rokok keluaran syarikat Israel juga seperti bersubahat dalam pembunuhan penduduk Palestin.
Dia mendakwa syarikat-syarikat pengeluar rokok ini menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus keuntungan kepada Israel untuk menentang negara-negara jirannya terutama Palestin.
“Kenapa asyik boikot McD, nak suruh orang lain tentang produk makanan dari Israel, tetapi rokok tetap di mulut.
“Kau hisap rokok sama ja macam kau sokong mereka, tak guna berhimpun tolak produk makanan sahaja,” perlinya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan ramai individu terkesan selepas rakyat Malaysia bersatu hati memboikot produk keluaran Israel termasuklah jenama yang memberi sokongan kepada negara tersebut.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata pekerja sambilan akhirnya terpaksa diberhentikan disebabkan syarikat tidak lagi menerima jumlah pelanggan yang ramai.
Seorang pengguna Facebook, Shahirah Azalia meluahkan rasa sedih apabila dia diberhentikan kerja selepas mendapat notis 24 jam oleh majikan.
Sementara itu, seorang pengguna aplikasi X mengadu tentang nasib ahli keluarganya yang juga seorang berstatus orang kelainan upaya di mana tidak lagi dipanggil bekerja sejak tindakan orang ramai memboikot sesetengah jenama besar di negara ini. – KOSMO! ONLINE