PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap buku ‘Anwar Triumphs’ dapat ditelaah dengan baik oleh para pembacanya.
Beliau juga berharap fakta dan babak di dalam buku itu yang menukilkan kisah suka dan dukanya sejak era mahasiswa diwacanakan dengan sihat.
“Naskhah itu adalah karya terkini peguam jenayah terkemuka Australia, Mark Trowell, seraya turut hadir sahabat politik dan tetamu yang lain.
“Buku itu turut memetakan babak pengkhianatan politik dalam sejarah negara dan era reformasi.
“Serta kejatuhan dramatik gabungan Pakatan Harapan (PH), selain gejolak politik yang menyusulinya dek kerana ketamakan dan kerakusan pihak tertentu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan buku bertajuk ‘Anwar Triumphs’ mengisahkan tentang perjuangan dan kebangkitan Anwar dalam politik Malaysia dilancarkan hari ini.
Majlis pelancaran buku setebal 195 muka surat yang ditulis oleh Trowell tersebut disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri.
‘Anwar Triumphs’ antara lain menghidangkan pembacanya tentang kisah luar biasa perjalanan Anwar dalam merungkai politik Malaysia. – KOSMO! ONLINE