fbpx

Tolak babak pegang-pegang, Julia Farhana tak kesal tiada ‘job’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JULIA FARHANA

PETALING JAYA – Pelakon Julia Farhana Marin mengakui semakin peka menjaga batas pergaulan selepas bertudung sehingga sanggup menolak watak atau tawaran drama dan filem yang mempunyai babak bersentuhan.

Katanya, kebanyakan penerbitan yang terpaksa dilepaskan adalah untuk siaran platform Over The Top (OTT) yang menyelitkan adegan kurang sesuai bagi aktres berhijab.

“Sejak mengenakan tudung tujuh bulan lalu saya masih diajukan tawaran terutama membabitkan bahan siaran OTT yang mungkin produksi pun tak sedar wanita berhijab perlu menjaga batasan tertentu.

“Jika baca skrip sudah nampak ada babak berpegangan dan seumpamanya, saya jelaskan kenapa terpaksa menolak sebab kita pun faham ada pihak penerbitan yang tak boleh rombak skrip.

“Ketika nekad berhijab pun saya dah fikir tentang impak dalam kerjaya lakonan, tetapi saya menyesal. Yakin ada rezeki lain menunggu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Tatagaltier, baru-baru ini.

Menurut bintang filem Coast Guard itu turut mengakui sebelum menutup aurat banyak kali dirinya terlepas pandang babak berpegangan mahupun memeluk pelakon lelaki kerana menuruti keperluan skrip.

Namun kini selepas berhijab perasaan kurang selesa dengan adegan sebegitu membuatkannya sendiri memilih untuk kekal istiqamah.

“Kesedaran itu hadir secara semula jadi tanpa paksaan, jadi tidak timbul penyesalan dalam hati apabila kita sendiri mahu istiqamah yang hakikatnya mempunyai cabaran tersendiri.

“Insan sekeliling yang rapat juga berperanan penting dalam memberikan sokongan dan bagi diri saya, suami serta keluarga mentua turut banyak menyuntik kesedaran hingga perjalanan ini tampak lancar,” katanya.

Begitupun, isteri kepada pensohor media sosial, Dr. Mohammad Che Hafiz Che Ibrahim itu meminta didoakan supaya ditetapkan hati dalam menjaga ibadah serta penampilan, selain berharap masyarakat tidak cepat jatuh kepada wanita yang membuka hijab.

Akui Julia, 28, yang kini menyambung pengajian jurusan Sarjana Muda Psikologi, tindakan sedemikian mempunyai sebab tersendiri yang mungkin berkaitan tekanan dalam diri atau persekitaran.

“Setiap insan melalui fasa tertentu dan cara penerimaaan terhadap sesuatu isu pun berbeza. Andai hati mereka berbolak balik, kita nasihat atau doakan saja mereka, itu lebih baik berbanding mengeji.

“Saya yang cuma beberapa bulan lalu mengenakan tudung sudah merasai cabaran membuatkan saya tak akan menilai sesiapa pun sebab mungkin mereka inilah yang kekal istiqamah selamanya apabila sudah bersedia nanti.

“Begitu juga yang membuat keputusan kembali ‘free hair’, kita usah hakimi perjalanan hidup seseorang, lebih baik kita mendoakan yang baik-baik sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI