KONFLIK yang berlaku di bumi Palestin ketika ini meninggalkan impak besar kepada seluruh penduduk dunia termasuk Malaysia yang menjadi antara sebuah negara terkuat menyuarakan solidariti.
Bukan hanya orang awam, golongan selebriti juga antara yang kerap mencuri perhatian ramai dengan kelantangan dan perkongsian emosi mereka dalam media sosial antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Fazura.
Mereka berdua kelihatan sebak dan turut menitiskan air mata ketika hadir ke Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
Siti tidak dapat menahan sebak ketika mendendangkan lagu Oda Bumi Anbia yang menceritakan tentang kekejaman terhadap penduduk Palestin.
Fazura pula tidak dapat menahan sebak apabila menonton video penderitaan yang dilalui penduduk Palestin ketika ini.
“Masya-Allah, rasa sebak sangat melihat dua figura ini menitiskan air mata kerana Palestin.
“Kedua-duanya idola ramai dan semoga setiap mesej yang mereka sebarkan membawa kepada kemerdekaan Palestin,” demkian antara komen yang ditinggalkan netizen.