PETALING JAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj serta Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, di ibu negara hari ini.
Pertemuan itu dimaklumkan dalam satu hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini.
“Pertemuan bersama Sultan Selangor dan Sultan Perak adalah sebagai adat orang Melayu yang berkunjung hormat bagi menjunjung kasih setelah selesai urusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, semalam.
“Hasil mesyuarat itu, Sultan Ibrahim telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Mesyuarat yang bermula pukul 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Raja-Raja Melayu yang berangkat ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. – KOSMO! ONLINE