KUALA NERUS – Seorang wanita pilu hanya sempat merasai kehidupan berumah tangga selama enam bulan selepas suaminya meninggal dunia secara mengejut pada 11 Oktober lalu.
Nurul Hazwani Athirah Che Ross, 23, berkata, suaminya, Muhammad Syazwan Che Wahid, 25, disahkan meninggal dunia akibat leukemia.
“Pada mulanya, arwah suami (Muhammad Syazwan) mengadu sakit gusi sebelum dia mendapat rawatan di sebuah klinik pergigian swasta.
“Selepas itu, sehari sebelum meninggal dunia, dia tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balai Maras, Mengabang Telipot di sini semalam.
Terdahulu dia disantuni Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.
Nurul Hazwani Athirah berkata, pemeriksaan lanjut pegawai perubatan HSNZ kemudiannya mengesahkan Muhammad Syazwan menghidap leukemia tahap empat.
Tambahnya, suaminya akhirnya menghembus nafas terakhir pada pukul 4 petang, keesokan harinya.
“Ia amat mengejutkan saya dan ahli keluarga lain kerana arwah suami tidak pernah menunjukkan sebarang simptom menghidap penyakit kritikal itu sebelum ini.
“Tambah membuat saya sayu, kami baru sahaja bernikah pada 28 April lalu dan saya masih belum puas berbakti kepadanya sebagai isteri,” katanya.
Sementara itu, Farihah berkata, semakan Perkeso mendapati Muhammad Syazwan yang bekerja sebagai mekanik merupakan pencarum yang aktif.
Beliau berkata, waris Muhammad Syazwan layak menerima faedah ditawarkan Perkeso.
“Buat permulaan waris arwah (Nurul Hazwani Athirah) menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000. Selepas ini kami akan uruskan pembayaran pencen penakat secara bulanan yang amaunnya akan ditentukan kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE