GUA MUSANG – Sembilan keluarga Orang Asli di Kampung Bujuk, Pos Bihai, di sini terpaksa lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri selepas seekor gajah liar menggoncang dan merosakkan rumah buluh mereka pada Rabu lalu.
Wakil penduduk Kampung Bujuk, Asu Pandak, 65, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, rumah buluh miliknya diranapkan oleh gajah liar terbabit.
Menurut Asu, keluarganya kini terpaksa menumpang di rumah saudara di Kampung Tendrik, dekat sini.
“Kami bernasib kerana tersedar dan sempat melarikan diri ke kampung berhampiran meskipun keadaan ketika itu gelap.
“Sebelum ini, gajah tersebut hanya merosakkan tanaman seperti pisang dan ubi kayu yang menjadi sumber utama makanan kami di sini. Terbaru, haiwan itu mula merosakkan rumah penduduk sehingga membuatkan kami hidup dalam ketakutan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Apek Asud, 39, berkata, kira-kira 52 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Bujuk dan Kampung Hak, Pos Bihai kini hidup dalam kebimbangan apabila rumah dan tanaman mereka dimusnahkan oleh gajah liar.
Katanya, sebuah rumah penduduk di Kampung Hak, di sini dirosakkan gajah liar terbabit dalam kejadian terbaru yang berlaku kelmarin.
“Pos Bihai bukan sahaja diancam harimau belang yang masih berkeliaran, tetapi gajah liar turut merosakkan rumah dan tanaman penduduk.
“Kami percaya habitat haiwan liar semakin terancam sejak pembukaan hutan untuk pembalakan sehingga harimau dan gajah bertindak mencari makan di kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya.
Apek memberitahu, penduduk Orang Asli berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berwajib dan agensi berkaitan bagi membantu masyarakat Orang Asli di pedalaman.
“Jangan sampai berlaku perkara yang tidak diingini kepada kami baru mereka masuk dan bertanyakan khabar. Ketika itu, semua sudah tidak berguna lagi,” katanya.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, seekor harimau belang jantan yang sebelum ini menjadi ancaman kerana berkeliaran dan membaham anjing peliharaan di sekitar kampung Orang Asli di Pos Bihai, di sini akhirnya berjaya ditangkap hujung bulan lalu.
Harimau belang yang dianggarkan berusia dua tahun itu berjaya ditangkap dalam keadaan sihat di Kampung Hak, Pos Bihai, dekat sini.