PARIS – Afrika Selatan menjangkakan pertembungan final Ragbi Piala Dunia menentang musuh terhebatnya, New Zealand esok bakal menjadi perlawanan paling mencabar selepas kedua-dua pasukan mengintai untuk menjulang gelaran keempat.
Bagaimanapun, Afrika Selatan mengakui mereka akan lakukan apa sahaja dan tidak membuka laluan mudah kepada lawannya itu selepas Springboks tekad mempertahankan gelaran yang mereka julang pada 2019.
Ketua Jurulatih Afrika Selatan, Jacques Nienaber menegaskan menjelang aksi final itu tiada ruang untuk lakukan eksperimen yang gagal ketika berdepan New Zealand.
“Jika anda melihat perlawanan lepas, ia sentiasa sukar dan mencabar. Saya yakin perlawanan final ini pasti dua kali lebih mencabar kerana pasukan yang menang akan menjadi negara pertama melakar empat kemenangan Piala Dunia.
“Dari situ kita dapat ramalkan perlawanan ini akan menjadi satu pertembungan bersejarah buat kedua-dua pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, Nienaber turut menegaskan dia juga mengambil tempoh yang lama dalam pemilihan pemain yang bakal diturunkan pada pertembungan final itu selepas memilih tujuh penyerang untuk dibawa masuk.
“Pemilihan pemain adalah hasil perbincangan yang begitu panjang dan mengambil masa berjam-jam. Analisis pemain dibuat antara jurulatih.
“Pastinya, pemilihan dibuat berdasarkan apa yang kita rasa mampu menjelmakan keputusan yang terbaik. 23 pemain yang kami terpilih ini adalah yang terbaik dan kita rasakan mereka mampu membantu kami memenangi Piala Dunia berturut-turut,” tegas Nienaber.
Sebagai rekod, Afrika Selatan tidak pernah kalah dalam perlawanan akhir Piala Dunia dan mereka telah menjulang Piala Dunia pada edisi 1995, 2007 dan 2019. – AGENSI