PUTRAJAYA – Penghantaran pertama barangan kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir melalui penerbangan kargo sewaan khas pada 3 November depan atas pembiayaan Kerajaan Malaysia.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan berkata, 50 tan barangan utama bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dengan nilai RM7 juta telah siap sedia untuk dihantar ke Gaza melalui Mesir.
Katanya, penghantaran barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu mendapat kelulusan Kerajaan Mesir terlebih dahulu sebelum diurus oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, sebagai agensi pelaksana tunggal bagi menguruskan penghantaran melalui pintu masuk sempadan Rafah-Gaza.
“Barangan ini dikumpul melalui kempen Ops Ihsan oleh lebih 40 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 21 dan 22 Oktober lalu,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, penghantaran seterusnya adalah melalui laut dan akan digerak sebaik mendapat butiran terkini dari lapangan oleh Pasukan Ops Ihsan ke bandar Ismaliyah, Mesir dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, KLN berkata, sehingga kini, jumlah yang telah diterima oleh pihak Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) adalah RM23 juta ia termasuk diterima daripada syarikat korporat yang menjanjikan sumbangan sewaktu Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung AAKRP pada 19 Oktober lalu di Sri Perdana.
Tambah kenyataan itu, berikutan jumlah sumbangan yang tinggi masuk ke dalam akaun AAKRP, pengeluaran resit rasmi sumbangan melalui AAKRP ini akan mengambil sedikit masa.
“Sumbangan tunai boleh disalur melalui AAKRP melalui pautan https://shorturl.at/begq8 dengan butiran sumbangan boleh dibuat ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (86-0030248-9).
“Sumbangan yang dibuat melalui AAKRP adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE