KUANTAN – Pahang berjaya membuat kutipan sebanyak RM110,000 setakat ini selepas Tabung Palestin 2.0 dilancarkan di sini, hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tabung berkenaan dibuka kepada seluruh rakyat negeri ini, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Walaupun Palestin 17,700 kilometer jauhnya dari Pahang tetapi hati kita dekat dengan rakyat negara itu. Ini kerana kita benci kepada kekejaman, kezaliman yang dilakukan Israel.
“Sebenarnya, Pahang dari dahulu tidak pernah jemu dan penat untuk membantu Palestin dengan menyumbang sehingga RM700,000 pada Tabung Palestin 1.0,” katanya pada Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.
Melalui Tabung Palestin 2.0 ini, kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak RM100,000 manakala RM10,000 pula diberikan oleh Majlis Kebajikan India Muslim Pahang.
Sebelum ini sejumlah RM700,000 berjaya dikutip dan disumbangkan kepada rakyat Palestin melalui Tabung Palestin 1.0.-KOSMO! ONLINE