fbpx

Mayat mangsa lemas di Sungai Perak ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat Muhammad Faiz Azam, 33, ditemukan orang awam terdampar di ban pasir dekat pulau di Kampung Buaya, Kuala Kangsar pada pukul 5.30 petang tadi.

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Lubuk Batu Mat Gan, Sungai Perak di Kampung Tahan Kati di sini kelmarin, ditemukan lemas hari ini.

Mayat Muhammad Faiz Azam, 33, ditemukan orang awam terdampar di ban pasir dekat pulau di Kampung Buaya pada pukul 5.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, mayat lelaki itu ditemui kira-kira 25 kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.

Katanya, mayat mangsa segera dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula selepas kita menerima maklumat kejadian itu di mana khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) iaitu Denti dan Lady digunakan bagi membantu mengesan mangsa.

“Dalam operasi yang memasuki hari ketiga itu juga, 12 buah bot daripada pelbagai agensi termasuk milik orang awam digunakan selain anggota turut melakukan pencarian di permukaan air.

“Pencarian mangsa melalui Sungai Perak juga dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit di mana carian dilakukan menghala ke hulu sungai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, seramai 13 anggota dari BBP Kuala Kangsar termasuk K9 terlibat dalam operasi itu dibantu tiga anggota BBP Parit.

“Operasi mencari mangsa turut disertai pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam termasuk nelayan darat dan penduduk kampung” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam Khamis lalu, Muhammad Faiz yang juga seorang kerani sekolah dihanyutkan arus deras selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Lubuk Batu Mat Gan bersama dua rakannya.

Mangsa dikatakan bertolak dari Jeti Kampung Jarau untuk memancing udang sebelum bot yang dinaiki terlanggar batu di tengah sungai sehingga mengakibatkan enjin bot tersangkut.

Insiden itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian hadapan bot terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus dan tenggelam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI