HASRAT kontinjen negara mencapai sasaran 35 pingat keseluruhan tanpa mengira warna berjaya direalisasikan pada saingan hari kelima temasya Sukan Para Asia Hangzhou di China.
Kejayaan itu berjaya disumbangkan pemain badminton para negara, Mohd. Amin Burhanuddin yang meraih pingat perak selepas tewas 1-2 kepada Suhas Lalinakere Yathiraj dari India pada final kategori SL4 di Gimnasium Binjiang semalam.
Amin, 31, bermula cemerlang dengan kemenangan 21-13 tetapi terpaksa akur dengan kemampuan lawannya apabila tewas dua set berikutnya menerusi keputusan 18-21, 9-21.
“Saya ada keyakinan sedikit semasa set pertama tetapi ia berkurangan apabila berubah gelanggang. Banyak bola yang saya pukul selepas itu serba tak menjadi.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur atas kejayaan ini kerana berjaya melengkapkan sasaran 35 pingat kontinjen negara,” kata Amin yang disasarkan pingat gangsa sebelum bertolak ke temasya di Hangzhou itu.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou kecewa apabila tewas 1-2 kepada seteru tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi pada final kategori SU5 semalam.
Selain Amin dan Liek Hou, kontinjen negara turut meraih satu lagi pingat perak pada saingan hari kelima semalam menerusi Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam acara berbasikal para lebuh raya C1-3 menerusi catatan masa satu jam 27.23 minit.
Skuad berbasikal para terus cemerlang apabila meraih gangsa dalam acara lebuh raya wanita menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais dan Nurul Suhada Zainal selaku pilot selepas merakam masa 2:00:23s.