fbpx

Liga Super: KDA FC tewaskan NSFC 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perlawanan antara KDA FC dengan NSFC di Stadium Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Di sebalik isu gaji yang ‘menghantui’ para pemain, jurulatih dan pegawai Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sang Kenari tampak tetap bernafsu untuk meraih kedudukan kedua Liga Super, sekaligus menempah tempat ke Piala AFC musim depan.

Ia apabila mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas satu lagi pasukan yang berdepan masalah gaji, Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.

Seawal minit kedua, KDA FC sudah mendatangkan ancaman berbahaya menerusi gerakan satu dua Amirul Hisyam Awang Kechik bersama Ifedayo Olusegun.

Gol pertama Sang Kenari kemudiannya muncul pada minit ke-10 apabila kapten mereka, Manuel Ott bijak melakukan rembatan lencong dari luar kotak penalti yang gagal dijangkau Sikh Izhan meskipun penjaga muda negara itu cuba melayangkan badan ke kiri pintu gol.

Hanya lima minit berselang, Stadium Darul Aman sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila pemain kebangsaan Tajikistan, Amirbek Juraboev menyumbat gol kedua skuad Hijau Kuning.

Di sebalik beberapa percubaan dilakukan NSFC pada awal separuh babak kedua, gol ketiga hadir buat KDA FC menerusi Ifedayo pada minit ke-52.

Penyerang bertubuh sasa dari Nigeria itu bijak memperdaya Sikh Izhan menggunakan kaki kiri, setelah dia menyambut hantaran lintang leret dari Ott untuk melorongkan bola ke dalam gawang.

KDA FC cuba menambah jaringan pada minit-minit terakhir menerusi Hidalgo sewaktu masa tambahan namun rembatannya dari jarak dekat, ditepis Sikh Izhan untuk kedudukan kekal 3-0 menyebelahi tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI