LIVERPOOL – Penyerang berbisa Liverpool, Mohamed Salah terus mencipta impak tersendiri apabila memadam rekod legenda Arsenal, Thierry Henry untuk muncul penjaring terbanyak Eropah bagi pemain daripada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sebagai rekod, Salah menjaringkan satu gol buat The Reds ketika menewaskan wakil Perancis, Toulouse 5-1 di Anfield awal pagi semalam, manakala empat lagi gol gergasi EPL itu dijaringkan oleh Diego Jota, Wataru Endo, Darwin Nunez dan Ryan Gravenberch.
Ia menyaksikan Salah kini sudah mengumpul keseluruhan 43 gol di pentas Eropah dengan 41 jaringan dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) dan tambahan dua pada kempen Liga Europa musim ini.
Rekod Henry bersama Arsenal pula adalah 42 jaringan dengan 35 gol pada kempen UCL, manakala tujuh lagi apabila beraksi dalam saingan Liga Europa.
Sementara itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memuji prestasi pasukan secara keseluruhan selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut pada aksi Kumpulan E meskipun menurunkan ramai pemain muda.
“Saya semakin teruja menyaksikan prestasi pemain di atas padang. Mereka bukan sahaja memberikan seratus peratus di atas padang tetapi turut mempamerkan corak permainan yang cukup positif.
“Ini adalah malam sempurna kerana kita berjaya menjaringkan banyak gol dan juga tiada pemain yang cedera. Beberapa pemain muda yang diberikan peluang juga dapat pamerkan corak serangan terbaik,” katanya.
Selepas ini, Liverpool akan meneruskan aksi EPL menentang Nottingham Forest dengan harapan untuk meraih kemenangan ketujuh liga di Anfield malam esok. – AGENSI