JAKARTA – Seorang lelaki transgender yang memiliki wajah dan suara mirip wanita mengerjakan ibadah umrah di kota suci Mekah, lapor portal berita Tribun News Bogor hari ini.
Ketika mengerjakan ibadah itu, dia bertaubat dan memanjatkan doa kepada Allah supaya diberikan kekuatan untuk menjadi lelaki sejati.
Walaupun mempunyai penampilan seperti wanita, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Jessi Rinrada tetap mengerjakan ibadah umrah sebagai seorang lelaki.
Bagaimanapun, dia menempuh pelbagai ujian seperti ditahan beberapa kali oleh askar-askar Arab Saudi ketika melawat Masjid Nabawi di Madinah.
“Ditahan berkali-kali kerana saya selalu dicurigai,” katanya.
Namun, lelaki tersebut berkata, dia ikhlas mengerjakan umrah dan berharap ibadatnya itu diterima oleh Allah.
Dia pergi ke Mekah untuk mengerjakan umrah bersama ibu bapanya pada 14 Oktober lalu dan telah kembali ke tanah air pada 22 Oktober lepas. – AGENSI