GEORGE TOWN – Jenazah pelakon senior, Badrul Muhayat, 55, dibawa pulang ke Sentul, Kuala Lumpur, malam tadi selepas urusan bedah siasat, mandi dan kafan selesai dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Jenazah dibawa dengan van kira-kira pukul 7.45 malam tadi dengan ditemani isterinya, Norhayati Zulkapli, 50.
Norhayati berkata, urusan pengebumian suaminya akan dipercepatkan dan selewat-lewatnya dilakukan pada pukul 8 pagi esok.
“Dalam pukul 5 atau 6 pagi ini, akan selesai semuanya dan akan kebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda di Kuala Lumpur, dekat dengan rumah saya. Pihak Masjid di Sentul juga saya sudah hubungi,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Allahyarham Badrul Muhayat dilaporkan meninggalkan dunia ketika tidur di sebuah inap desa di Taman Pauh Jaya, pagi tadi. – KOSMO! ONLINE