fbpx

IPT boleh tunjuk solidariti kepada Palestin ikut cara mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED KHALED (tengah) ketika hadir merasmikan Program Kesihatan Madani bersama MegaKlinik QMS Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada pengurusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing dalam menunjukkan cara keperihatinan sebagai solidariti terhadap rakyat negara Palestin yang dizalimi ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap universiti dalam negara mempunyai garis peraturan dan kebebasan masing-masing.

Katanya, KPT tidak mengawal dan menentukan semua perkara terhadap pihak universiti seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kena faham, di KPT kita bukan mengawal dan menentukan semuanya di universiti. Setiap universiti ada peraturan dan panduan masing-masing, kita bukan sekolah.

“KPT hanya menguruskan koordinasi universiti, hal lain-lain universiti masing-masing ada kebebasan mereka, maknanya (universiti) boleh menunjukkan simpati masing-masing cara mereka.

“Kita hanya beritahu ada usaha untuk jayakan Tabung Kemanusiaan Palestin, itu sahaja. Apa yang berlaku di KPM, tidak semestinya berlaku di KPT,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kesihatan Madani bersama MegaKlinik QMS Kota Tinggi di sini, hari ini.

Kelmarin, KPM akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah KPM bermula esok hingga 3 November ini bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan program itu akan diadakan di sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara.

Bagaimanapun dalam kenyataan berasingan hari ini, KPM memaklumkan melarang sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin.

Kenyataan KPM menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI