fbpx

Ikat tiang rumah pada pokok mangga elak dihanyut bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIN menunjukkan tali yang menambat tiang rumahnya pada pokok mangga di Kampung Tersang, Rantau Panjang semalam. – ROHANA ISMAIL

RANTAU PANJANG – Seorang penoreh getah di Kampung Tersang, di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikat tiang rumah pada sebatang pokok mangga menggunakan tali ikat lembu agar kediamannya tidak hanyut semasa menghadapi musim banjir tidak lama lagi.

Din Abdul Rahman, 59, berkata, pengalaman tinggal di kampung itu sejak 31 tahun lalu menyebabkan dia membuat persediaan awal selepas melihat rumah jiran-jirannya hanyut semasa bah.

Menurutnya, rumah yang menjadi tempat tinggal bersama tujuh lagi ahli keluarga itu sedikit berganjak dan tiang tapak rumahnya turut tergelincir semasa banjir Disember tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan bahagian dapur runtuh selain struktur rumah menjadi senget.

“Rumah ini semakin tidak stabil selepas terkena arus air banjir deras semasa banjir luar jangka yang berlaku di kawasan ini pada Februari tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Din memberitahu, rumah yang berusia 31 tahun itu hanya bertahan dengan batu bata yang disusun pada bahagian tapak untuk mengelakkan ia runtuh.

Menurutnya, sehubungan itu, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikat tiang rumah tersebut dengan menggunakan tali ikat lembu atau tali polipropilena (PP) pada pokok mangga yang terletak hanya beberapa meter dari kediamannya.

“Saya tiada cara lain untuk mengelakkan rumah yang berusia lebih 30 tahun ini dihanyut bah pada musim banjir tahun ini. Jadi, saya pilih untuk menambat tali pada tiang rumah dan mengikatnya pada pokok mangga.

“Saya dan tujuh ahli keluarga sayang dengan rumah ini kerana ia merupakan hasil titik peluh saya sendiri. Saya tidak mahu rumah ini runtuh atau musnah akibat banjir,” ujarnya.

Din berkata, sebelum ini, kawasan rumahnya dinaiki air se­tinggi lima meter sebelum di­hanyutkan arus bah.

Menurutnya, dia dan seluruh ahli keluarga berharap tindakan menambat rumah pada pokok mangga itu sekurang-kurangnya dapat mengelakkan ia daripada terus rosak pada musim banjir tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI