fbpx

F1: Red Bull nafi wujud dua kem berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SPEKULASI melibatkan hubungan tidak harmoni antara Verstappen dan Perez sengaja diperbesarkan oleh pihak media. - AFP

MEXICO CITY – Ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner menepis spekulasi yang mendakwa wujud dua kem dalam pasukan melibatkan dua pelumbanya, iaitu Max Verstappen dan Sergio Perez.

Keadaan itu tercetus selepas Verstappen dicemuh ketika meraikan kemenangan pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) di Litar Americas minggu lalu selain penonton melaung-laungkan nama Perez.

Horner menjelaskan, kedua-dua pelumba itu langsung tidak ada masalah dan sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan biarpun saingan musim ini menyaksikan mereka beberapa kali bertelagah dalam perlumbaan.

“Mereka berdua langsung tidak ada sebarang masalah dan boleh bekerjasama. Mungkin kenyataan saya mengecewakan anda semua kerana tidak ada perseteruan antara pelumba dalam pasukan ini.

“Sepanjang tiga tahun bersama pasukan, mereka sentiasa berganding bahu. Bagi saya, ini hanya permainan media untuk melaga-lagakan mereka, tetapi saya gembira kerana keadaan tersebut tidak berlaku,” katanya.

Menjelang perlumbaan GP Mexico di Litar Antarabangsa Hermanos Rodriguez awal pagi esok, Horner menegaskan, adalah perkara biasa apabila penonton memberikan sepenuh sokongan terhadap pelumba tempatan.

“Penonton akan sentiasa berikan sokongan kepada pelumba yang mereka minat dan itulah yang bakal diterima Checo (Perez). Keadaan juga sama buat Max (Verstappen) apabila dia berlumba di Belanda,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN