LONDON – Bintang Chelsea, Cole Palmer berharap terus mendapat kepercayaan pengurusnya, Mauricio Pochettino untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam ini.
Palmer, 21, menjadi ayam tambatan baharu The Blues selepas meledak dua gol daripada enam perlawanan termasuk satu jaringan ketika seri 2-2 dengan Arsenal dalam saingan EPL pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, bekas pemain sayap Manchester City itu bimbang kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama disebabkan insidennya membaling botol terkena Pochettino sewaktu aksi menentang The Gunners minggu lalu.
“Saya sedang minum air ketika mereka (Arsenal) menjaringkan gol kedua. Saya rasa geram dan membaling botol itu tanpa melihat apa di hadapan saya. Malangnya, ia terkena Pochettino.
“Saya terus meminta maaf sebelum berjumpa dengan beliau secara formal selepas tamat perlawanan. Harapnya insiden itu tidak akan menyebabkan saya digugurkan ke bangku simpanan,” kata Palmer.
Palmer kini menjadi revolusi di Stamford Bridge sejak dibeli dari City dengan yuran perpindahan bernilai £42.5 juta (RM246.22 juta) pada 1 September lalu.
Kehadiran pemain bawah 21 tahun England itu dalam kesebelasan utama menyaksikan perubahan prestasi Chelsea sehingga berjaya mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan satu seri sejak tewas 0-1 kepada Aston Villa pada 24 September lalu.
Sebagai rekod, Chelsea kini menduduki tangga ke-10 EPL dan dijangka memperbaiki kedudukan itu jika menewaskan Brentford malam ini. – AGENSI