fbpx

EPL: Chelsea dimalukan Brentford di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain-pemain Chelsea kelihatan sugul selepas tewas kepada Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge sebentar tadi. - AFP

LONDON – Chelsea mengalami kekalahan keempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas tewas 0-2 kepada Brentford pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus merentap semangat The Blues apabila kempunan untuk melakar kebangkitan selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Arsenal 22 Oktober lalu.

Chelsea yang turun selaku tuan rumah dilihat menguasai sebahagian besar permainan, namun kealpaan benteng pertahanan The Blues pada minit ke-58 membolehkan Ethan Pinnock menjaringkan gol pertama Brentford selepas menanduk masuk hantaran Bryan Mbeumo.

Tersentak dengan gol tersebut, barisan pemain muda Chelsea kembali menyusun semula permainan dan melakukan serangan demi serangan ke arah pintu gol pasukan pelawat.

Ketika ghairah memburu gol penyamaan, pintu gol The Blues hampir bolos sekali lagi pada minit ke-89 apabila Brentford melakukan serangan balas pantas, namun percubaan Mbeumo diselamatkan penjaga gol, Robert Sanchez.

Memasuki masa kecederaan, Brentford menggandakan kedudukan menerusi Mbeumo yang mengambil kesempatan atas tindakan Sanchez meninggalkan pintu golnya bagi membantu pasukan ketika sepakan penjuru.

Selepas ini, juara Eropah dua kali itu dijangka berdepan aksi sukar apabila dijadualkan bertemu Tottenham Hotspur, Manchester City, Newcastle United, Brighton dan Manchester United dalam lima perlawanan akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI