fbpx

Damasutra derma untung tiket konsert kepada Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prihatin dengan kesengsaraan yang dialami rakyat Gaza, Palestin, kumpulan Damasutra menyalurkan 10 peratus daripada keuntungan konsert mereka.

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib saudara seagama di Gaza, kumpulan popular era 1990-an, Damasutra menyalurkan 10 peratus daripada hasil jualan tiket Konsert Anniversari Ke-33 Damasutra-The Journey yang berlangsung malam tadi kepada rakyat Palestin.

Vokalisnya, Baggio berkata, konflik berdarah yang mengorbankan banyak nyawa itu menyemarakkan semangat untuk meringankan beban dengan bersama-sama peminat menghulurkan sumbangan.

“Inilah tanda solidariti kami terhadap perjuangan serta pengorbanan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah tumpah darah mereka dengan sepenuh jiwa raga.

“Sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan tiket disumbangkan ke Tabung Kecemasan Palestin di bawah kelolaan Malaysian Relief Agency (MRA).

“Sekurang-kurangnya kita dapat ringankan kesengsaraan dilalui penduduk Gaza, selain menjadikan penganjuran konsert ulang tahun Damasutra membawa makna kepada mesej kemanusiaan sejagat,” katanya ketika konsert mega di Zepp Kuala Lumpur itu.

Dihadiri hampir 1,000 penonton termasuk selebriti seperti penyanyi dan komposer, Joey BPR dan anggota kumpulan Gersang, Jojet, sebuah lagu turut didedikasikan kepada rakyat Palestin berjudul Impianku.

“Sepanjang tiga dekad kami menghiburkan ramai, banyak terselit mesej dalam setiap karya termasuk Impianku yang berkongsi nilai kemanusiaan sesama insan.

“Pastinya lagu ini turut membawa maksud mendalam terhadap konflik di bumi Gaza dengan kita sama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin,” ujarnya.

Selain Impianku, band yang ditubuhkan pada tahun 1991 itu menyampaikan 20 seleksi hits mereka termasuk Antara Sutra dan Bulan, Sufi dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi.

Konsert dibawakan Ultimate Media juga dimeriahkan persembahan pembukaan kumpulan D’Ultimate 6 yang dibarisi penyanyi dan pemuzik otai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI