PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan beberapa kawasan di 10 buah negeri bakal dilanda hujan lebat serta ribut petir, malam ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam laman sesawangnya, ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Bagi Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula hujan hanya dijangka turun di satu dua kawasan,” katanya dalam hantaran sama.
Tambah MetMalaysia, di Sabah, ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat iaitu Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan serta beberapa tempat di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Sarawak, hujan diramal berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang,” jelasnya.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE