fbpx

K2

Buru spesies ikan gred A di kawasan pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemuda ini juga sering menjadikan kawasan berbatu di pantai sebagai ‘port’ untuk memburu pelbagai spesies ikan di pesisir pantai.

MEMANCING merupakan hobi yang sangat sinonim dengan golongan lelaki dan ia merentasi sempadan usia, daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, lokasi seperti sungai, tasik, parit dan tali air mungkin menjadi antara lokasi yang kebiasaannya dituju.

Bagi kaki pancing yang tinggal di kawasan bandar pula, kolam pancing berbayar sudah pasti menjadi ‘port’ yang kerap dikunjungi kerana ia mudah untuk diakses.

Sementara itu, bagi kaki pancing yang tinggal di kawasan pantai pula, sudah pastilah lokasi utama yang menjadi tempat untuk meluaskan hobi mereka adalah di kawasan lubuk yang terletak di sepanjang pantai.

Perkara itu diakui seorang kaki pancing, Muhammad Amirol Pi Ramli, 32, apabila dia yang tinggal di kawasan Gong Badak, Kuala Terengganu kerap menjadikan kawasan pantai berhampiran sebagai ‘port’ untuk memburu pelbagai spesies hidupan pesisir pantai.

“Saya memang minat memancing sejak kecil dan mula menjadi pemancing tegar bermula tahun 2014 apabila saya mula belajar teknik casting dan jigging.

“Jika ingin memburu ikan dengan cara jigging, saya akan menaiki bot atau kayak ke tengah laut.

“Tapi saya lebih gemar memancing di kawasan pantai kerana selain mudah untuk dituju, saya juga boleh guna teknik casting yang menjadi teknik kegemaran saya.

Amirol menunjukkan ikan ebek yang berjaya dipancingnya di kawasan pantai di sekitar Terengganu.

“Kalau memancing di pantai, antara ‘port’ kegemaran saya ialah di pantai Seberang Takir, pantai Teluk Ketapang, pantai Tok Jembal dan pantai Batu Rakit,” katanya.

Menurut Amirol, apabila memancing di pantai, kebiasaannya dia lebih gemar menggunakan umpan tiruan seperti ‘micro jig’ atau plastik lembut.

Disebabkan dia gemar menggunakan set memancing ‘ultra light’, maka tali yang digunakan adalah bersaiz sekitar 3 paun hingga 5 paun dan dipadankan dengan mata kail bersaiz kecil sahaja.

“Bagi saya, waktu yang paling sesuai untuk mancing di kawasan pantai ialah seawal selepas Subuh sewaktu matahari baru nak naik.

“Tambahan pula waktu tersebut matahari baru sahaja keluar, jadi tidaklah terlalu panas untuk memancing.

“Jika kawasan tersebut banyak ikan, biasanya saya akan terus memancing sehingga ke waktu tengah hari,” katanya.

Jelasnya lagi, disebabkan sudah biasa dengan aktiviti memancing di pantai, dia mempunyai caranya yang tersendiri untuk mencari lubuk ikan.

Katanya, antara kaedah yang digunakan ialah dengan mencari kumpulan anak-anak ikan yang sedang bermain berhampiran pantai.

“Cara nak tahu lubuk ikan di pantai senang sahaja dan biasanya saya akan cari kawasan berbatu atau teluk.

“Lebih bagus lagi kalau ternampak sekumpulan anak ikan bermain di kawasan berkenaan kerana sudah tentulah akan ada ikan-ikan pemangsa yang berada berhampirannya.

“Selalunya spesies ikan pemangsa yang banyak dapat di kawasan pantai ialah ikan kerapu, anak ikan jemuduk, atau turut dikenali dengan panggilan ‘giant travelly’ dan ikan kunyit.

“Kadang-kadang selain memancing ikan, saya juga kerap mencandat sotong di kawasan pantai,” ujarnya.

Bercakap mengenai hasil pancingannya itu, Amirul memberitahu, biasanya ia akan dibawa balik untuk dimasak untuk dijadikan hidangan keluarga.

Jika hasil yang diperoleh itu banyak, dia juga akan membahagikannya dengan ahli keluarga atau rakan-rakannya.

“Bagi saya, hobi memancing sangat banyak manfaat kerana selain dapat menghilangkan stres di tempat kerja, ia juga boleh menjana pendapatan yang lumayan seperti menjual alatan pancing.

“Malah, bagi mereka yang kreatif, hobi ini juga boleh dijadikan bahan untuk membuat konten video memancing serta berkongsi ilmu dan pengalaman menerusi mana-mana saluran laman sosial,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI