fbpx

Audi rempuh pagar Istana Johor dipandu suspek bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kemalangan membabit sebuah kereta jenis Audi yang terbabas melanggar dua buah kenderaan dan merempuh pagar Istana Besar di Kilometer 2.3 Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru awal pagi semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan seorang pemuda maut diberkas polis ketika cuba melarikan diri menaiki kereta jenis Audi sebelum melanggar panggar Istana Besar di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, seorang lelaki warga asing berusia 20-an bersama dua wanita berada dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta tersebut di Jalan Tanjung Puteri di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah memeriksa kenderaan itu, pemandu memecut laju sehingga ke Jalan Tun Dr. Ismail.

“Apabila sampai di hadapan Istana Besar, pemandu Audi gagal mengawal keretanya lalu merempuh dua buah kereta iaitu Proton Persona dan Perodua Aruz sebelum melanggar pagar Istana Besar.

“Polis berjaya menangkap suspek bersama dua wanita serta merampas beberapa peralatan termasuk hulu pisau berwarna kuning, satu mata pisau, tiga buah telefon bimbit dan masing-masing dua baju dan seluar,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan yang membawa kepada kematian seorang lelaki berusia 25 tahun akibat ditikam dengan senjata tajam.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dalam kejadian pada pukul 3.41 pagi semalam, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan beberapa tikaman di hadapan sebuah premis di Johor Bahru.

Mengulas lanjut Raub berkata, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati lelaki itu mati dengan sembilan kesan tikaman termasuk pada bahagian dada, perut, rusuk serta bahagian belakang badan.

Hasil semakan mendapati seorang suspek memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah selain ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ujarnya, motif pergaduhan tersebut masih lagi dalam siasatan.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek kini dalam proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI