PETALING JAYA – Masa depan jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dalam Road to Gold (RTG) bakal diketahui selepas jawatankuasa program itu bermesyuarat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil minggu depan.
Status Zii Jia, 25, dalam RTG menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penggiat sukan tanah air berdasarkan prestasinya sejak kebelakangan ini biarpun berjaya menjuarai Terbuka Arctic di Vaanta, Finland pada 15 Oktober lalu.
Ada antara mereka meragui kemampuan Zii Jia untuk memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis selepas bekas juara All England 2021 itu tewas di pusingan kedua Terbuka Perancis ketika ini.
Bagaimanapun, segalanya bakal terjawab apabila Jawatankuasa RTG membuat keputusan berhubung senarai keluar masuk atlet dan nama-nama yang mungkin berdepan penyingkiran daripada program tersebut selepas ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pelbagai faktor akan diambil kira dalam usaha memastikan RTG kembali ke landasan sebenar iaitu merangkul pingat emas pertama buat Malaysia di pentas Sukan Olimpik.
“Jawatankuasa RTG bermesyuarat minggu depan dan senarai atlet akan dibincangkan. Perlu diingat bahawa RTG adalah servis tambahan kepada atlet yang berpeluang untuk menenangi emas dan bukannya layak ke Olimpik.
“Atlet layak ke Olimpik sudah ada dalam Program Podium. Segala kemungkinan itu tetap ada (atlet digugurkan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hari ini.
Selain Zii Jia, beregu campuran negara di ranking No.21 dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan skuad hoki lelaki negara juga antara nama yang berada dalam situasi bahaya digugurkan daripada program RTG.
Buat masa ini, baru tiga atlet negara berjaya mengesahkan tempat ke Olimpik Paris 2024 tahun depan iaitu atlet menembak, Johnathan Wong Guanjie, Nur Shazrin Abd. Latif (pelayaran) dan Bertrand Rhodict (terjun). – KOSMO! ONLINE